Posts Tagged ‘Sidang Akhbar’

AKTOR India Selatan, Kamal Hassan harap Malaysia akan membatalkan pengharaman filemnya, “Vishwaroopam” dalam tempoh terdekat.
“Saya sedih beberapa negara seperti Malaysia dan Dubai belum menayangkan filem itu. Alangkah baik kalau mereka benarkan penayangannya,” kata beliau pada sidang akhbar di Chennai, Tamil Nadu.
Vishwaroopam, filem thriller pengintip, yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh Kamal Hassan, 58, menghadapi sekatan ekoran bantahan beberapa pertubuhan Islam kerana mengandungi babak dan dialog yang menghina Islam.

BEKAS Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim meletak jawatan dalam dua jawatankuasa kecil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerima surat pertuduhan daripada badan induk itu mendakwa beliau membuat kenyataan kepada media yang menyentuh kepimpinan FAM.
Beliau menerima surat itu hari ini, yang memintanya mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.
Shahidan, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, berkata, beliau tidak akan menjawab surat itu, sebaliknya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai anggota jawatankuasa kewangan dan anggota jawatankuasa bola sepak wanita FAM.
KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik gerai makan di Kampung Baru di sini kerana disyaki mengedar dan menyimpan dadah bernilai RM110,000.
Mereka ditahan dalam serbuan polis di gerai makan itu pada 4.30 petang semalam yang menyaksikan rampasan ganja seberat 670 gram, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira sejam selepas serbuan di gerai itu, polis menyerbu sebuah stor kira-kira 200 meter di belakang rumah pasangan itu dan merampas 40 ketulan mampat dipercayai ganja yang telah dibalut.
“Pasangan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak beberapa tahun lepas,” katanya.

ALI (kiri) bersalaman dengan sebahagian penjawat awam pada majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2013 di PICC, Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

ROSLEE menunjukkan jaket dan pelbagai peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk memperdaya wanita-wanita bujang pada sidang akhbar di George Town semalam.
GEORGE TOWN – Kekecewaan lebih 20 wanita bujang yang kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki kasanova sedikit terubat apabila suspek yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital swasta di sini diberkas setelah memasuki perangkap polis Jumaat lalu.
Suspek berusia 45 tahun yang menggunakan nama Dr. Shiva Nair; Dr. Ragunathan dan Keeran Raj ditangkap di rumahnya di Bukit Gambir di sini pada pukul 10 malam 4 Januari lalu selepas terpedaya dengan lakonan polis yang berkenalan dengannya menerusi laman sosial.

KEADAAN kereta Proton Perdana dinaiki dua penjenayah yang terjunam ke dalam tali air di Kubang Semang, Bukit Mertajam semalam.
BUKIT MERTAJAM – Dua penjenayah berbahaya dikenali sebagai Joe Mafia dan Boy yang meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke mahkamah bersama tujuh tahanan lain pada Isnin lalu mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Kampung Padang Temusu, Guar Perahu di sini semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, dua Orang Kena Tahan (OKT) yang terbunuh ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, atau Joe Mafia dan Mohd. Noor Mustafa, 28, atau Boy.

GAMBAR menunjukkan tiga individu berpakaian menjolok mata sambil melakukan tarian lucah pada satu majlis anjuran polis Shah Alam di sebuah hotel Jumaat lalu kini tersebar di laman sosial Facebook dan blog.
SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis berpangkat rendah daerah ini yang akan bertukar dicemari insiden memalukan apabila tiga lelaki yang memakai pakaian dalam wanita melakukan aksi tarian separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam kerana difahamkan persembahan yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel terkemuka di Selangor itu berbentuk tarian tradisional.