Strategi BN mahu kelirukan Pakatan?

Posted on the April 22nd, 2012 under Politik by admin

MEMERHATIKAN perkembangan politik sepanjang satu minggu yang lalu memang cukup menarik. Penulis cuba hendak mengelak daripada menyentuh lagi teka-teki tarikh pilihan raya umum. Nampaknya tiada pilihan!

Dalam tulisan terakhir, penulis berakhir dengan kata-kata “teka-teki pilihan raya ini memeningkan semua orang.”

Seorang ahli Parlimen Pas menghubungi penulis dan berkongsi pandangan. Terima kasih kepada Yang Berhormat.

Berdasarkan teka-teki baru ini, beberapa penganalisis dan pemerhati politik mengatakan pilihan raya hanya akan diadakan selepas Aidilfitri. Kemungkinan juga selepas pembentangan Belanjawan 2013.

Jika benar strategi BN itu, pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan masa lagi untuk membuat persiapan mantap.

Jika betul Najib memerlukan masa enam bulan lagi, perkembangan sepanjang satu minggu lalu agar mengelirukan banyak pihak.

Pertama: Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa kesemua bahagian Umno sudah pun mengemukakan senarai nama calon kepada ibu pejabat iaitu awal bulan ini. Beberapa hari selepas itu, Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung Umno memaklumkan bahawa komponen BN dikehendaki mengemukakan senarai mereka dalam tempoh dua minggu lagi. Bermakna sebelum akhir bulan ini.

Kedua: Beberapa hari sebelum kenyataan Tengku Adnan itu, Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, partinya hanya akan menghantar nama calon apabila Parlimen dibubarkan.
Kedua-dua kenyataan nampak tidak sealiran. Tak mengapa, kemungkinan berbeza pandangan!

Kedua: Minggu lalu juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kini sebagai masa yang sesuai untuk Najib memanggil pilihan raya umum. Awal tahun ini, Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan selama 22 tahun, memimpin BN menghadapi pilihan raya umum 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999, Najib tidak wajar memanggil pilihan raya umum sekarang dan sebaliknya perlu menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.

Mengapa Dr Mahathir berubah fikiran?

Ketiga: Dewan Rakyat sudah pun mengakhiri sidangnya Khamis lalu. Menariknya, Dewan Rakyat bersidang sehingga awal pagi Jumaat bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan. Ada yang mengatakan apa rasionalnya BN begitu tergesa-gesa mahu bertindak sedemikian. Ini kali pertama sidang Dewan Rakyat bersidang berterusan selama dua hari selepas ketika perbahasan Ordinan Darurat Kelantan pada 1977.
Laporan Bernama menyebut persidangan dewan bagi sesi penggal ini ditangguhkan pada jam 3.22 pagi ini selepas 22 hari bersidang.

Keempat: Akta-akta yang dijanjikan pindaan oleh kerajaan dibawa ke Dewan Rakyat iaitu     Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta,  Akta Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan Akta Kesalahan Keselamatan yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Turut dipinda Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Jadi, apa mesej tersirat?

BN hendak mengelirukan pembangkang? Atau BN benar-benar tidak cukup masa?

Pembangkang dikatakan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada Jun atau pada September. Cuma mereka akan berhadapan dengan isu dana kempen.

Tetapi dari segi masa, jika pembubaran ditangguh tiga atau empat bulan selepas Jun, ia masih dianggap bonus bagi mereka.

Sinar



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,