Shahir dakwah guna lagu

Posted on the November 4th, 2011 under Artis by admin

KUALA LUMPUR: “Saya memang dibesarkan dengan lagu berunsur dakwah. Saya berhasrat meneruskannya, tetapi menggunakan pendekatan saya tersendiri,” kata juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi, yang kini beralih arah memilih menyanyikan lagu berunsur kerohanian dan mendapat sentuhan bekas gitaris terkenal, Sham Kamikaze.

Shahir, 23, ketika diminta penjelasan mengenai perkara itu menjelaskan projek penghasilan album kerohaniannya akan bermula selepas Aidiladha ini dan akan menemui peminat Disember depan.

Menurutnya, dia akan bekerjasama dengan Sham Kamikaze dan juga penulis lirik, Kunci Demak menghasilkan lagu kerohanian, tetapi masih mengekalkan personaliti lama, sekali gus mengikuti jejak langkah penyanyi antarabangsa terkenal, Maher Zain.

“Saya tidak beralih arah 90 darjah menjadi penyanyi nasyid sebaliknya hanya menyanyikan lagu kerohanian dengan harapan ia mampu memberikan mesej dan menyampaikan dakwah kepada pendengar,” katanya.

Shahir ketika diajukan pertanyaan sama ada tempoh tiga bulan mengundurkan diri daripada dunia hiburan membuatkannya banyak berubah dan bermuhasabah diri, hanya bermadah ‘hari ini adalah lebih baik daripada semalam.’ “Sebelum menyertai AF, saya sudah lama aktif menyanyikan lagu nasyid. Namun selepas diterima masuk, ramai yang terkejut dengan tindakan saya menyertai rancangan realiti terbabit,” katanya.

Shahir berkata, dia menolak kemungkinan akan menjadi ahli kumpulan nasyid sejurus album kerohanian itu siap, sebaliknya menegaskan hanya mahu menyampaikan nasihat berguna kepada masyarakat.

“Nasyid bukannya agama, tetapi nasyid adalah penyampaian lagu yang bersifat biasa. Menyampaikan mesej dan dakwah tidak semestinya perlu bersongkok atau berperwatakan seperti kumpulan nasyid,” katanya.

Menurutnya, sebab dia mahu menyanyikan lagu kerohanian adalah melihat perwatakan yang dibawa oleh penyanyi antarabangsa terkenal, Maher Zain.

“Biarpun Maher menampilkan personaliti seperti orang kebanyakan dengan berpakaian jean dan berjaket, tetapi dia masih berjaya menarik minat pendengar menghayati lagu kerohanian kerana apa yang disampaikan mempunyai mesej berkesan kepada orang ramai,” katanya yang masih menyokong usaha kumpulan nasyid di negara ini.

Harian Metro


Related News:

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,