Senarai atlet pelapis ke Sukan Sea
MAJLIS Sukan Negara (MSN) bercadang menghantar atlet pelapis dan pembangunan untuk menyertai Sukan Sea Indonesia dari 11 hingga 25 November ini.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, keputusan itu mungkin dibuat selepas penganjur menolak rayuan Malaysia dan negara lain seperti Singapura dan Laos menyenaraikan beberapa acara utama termasuk biliard, snuker dan bola sepak wanita.
Beliau berkata, tindakan pengguguran beberapa acara yang menjadi kekuatan Malaysia menyebabkan negara kehilangan prospek banyak pingat emas.
“Buat apa kita menghabiskan masa dan peruntukan kewangan yang besar untuk menghantar atlet elit sedangkan tidak mendatangkan faedah besar kepada mereka.
“Lebih baik jika kita hantar atlet pelapis dan pembangunan ke sana bagi tujuan pendedahan,” katanya pada majlis sambutan ke-40 penubuhan MSN di Bukit Jalil semalam.
Beliau berkata, penganjur tidak sepatutnya mementingkan diri dengan menyenaraikan acara yang boleh mereka kuasai dan menggugurkan acara wajib temasya itu.
“Penyertaan Sukan Sea hanya membabitkan jumlah negara yang kecil berbanding kejohanan lain. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan program pembangunan atlet rantau ini,” katanya. Jumaat lalu, mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF) di Bali memutuskan untuk menolak rayuan Malaysia agar penganjur menyenaraikan kembali 60 acara yang sebelum ini digugurkan.
Source: Harian Metro
| PERINGATAN: Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. |



















