RM627 juta untuk Gua Musang sejak 2006: Mustapa

Posted on the November 2nd, 2010 under Tempatan by Ahmad Albab

GUA MUSANG: Kerajaan Pusat telah memperuntukkan RM627.49 juta untuk pembangunan Gua Musang termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sejak 2006 hingga tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata peruntukan itu membabitkan 158 projek di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu sektor ekonomi, keselamatan, pentadbiran dan sosial.

“Malah Gua Musang adalah daerah yang mendapat peruntukan kedua terbanyak selepas Kota Bharu.

“(Bagi) sektor ekonomi diperuntukkan sejumlah RM339.38 juta dan keselamatan pula membabitkan peruntukan sejumlah RM6.65 juta, sementara peruntukan bagi sektor pentadbiran berjumlah RM37.58 juta manakala sektor sosial pula, peruntukannya adalah sejumlah RM243.88 juta,” katanya.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi DUN Galas, berkata Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan berbilion ringgit dalam usaha membangunkan negeri Kelantan sejak negara mencapai kemerdekaan dan Kelantan adalah antara negeri yang banyak menerima peruntukan daripada pusat.

Katanya, untuk RMK-9 saja jumlah peruntukan kerajaan termasuk sumber kewangan projek inisiatif swasta adalah berjumlah RM6.311 bilion.

Beliau berkata, antara komitmen Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan termasuk perjawatan kakitangan Persekutuan, program pembasmian kemiskinan, dana khas Kerajaan Persekutuan, keselamatan, kesihatan, pelajaran dan infrastruktur di bawah Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan projek-projek mega di Kelantan.
“Program membasmi kemiskinan membabitkan peruntukan sebanyak RM198.25 juta untuk tempoh RMK-9 (2006-2010) dan sehingga Ogos 2010, sebanyak RM53.8 juta diperuntukkan membabitkan 14,313 peserta termasuk peserta e-Kasih,” katanya.

Beliau berkata, projek mega yang turut dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan di Negeri Kelantan adalah pembinaan Jalan Pasir Puteh-Gong Kulim-Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dengan kos projek sebanyak RM55.3 juta; pembinaan Jalan Gua Musang-Jelawang-Jeli dengan kos projek RM53.46 juta.

“Ini termasuk projek kompleks Taman Budaya Negeri Kelantan dengan kos projek RM15.1 juta; dan Jambatan Kedua Sultan Yahaya Petra dengan kos bernilai RM150.23 juta,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat juga membangunkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membabitkan peruntukan sejumlah RM214 juta termasuk pengambilalihan tanah di Bachok dan Jeli.

Beliau berkata, pecahan peruntukan untuk UMK adalah RM100 juta di Bachok, RM40 juta di Jeli, dan sejumlah RM35 juta di Taman Bendahara, Kota Baharu.

“Bagi peruntukan pelajaran bagi negeri Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) adalah berjumlah RM838.7 juta sepanjang RMK-9 dari tahun 2006 hingga 2010 di bawah Kementerian Pelajaran.

“Kemudahan yang disediakan kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan mencakupi pelbagai bentuk pembangunan fizikal dan bukan fizikal termasuklah pembinaan sekolah baru serta penambahbaikan infrastruktur bangunan lama di kawasan bandar dan di pedalaman negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, dari aspek perjawatan Kerajaan Persekutuan, di Kelantan sahaja terdapat sejumlah 73,505 orang berbanding hanya 11,000 perjawatan bagi kerajaan negeri. – BERNAMA


Source: Berita Harian



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

  • Rahman

    Malaysia berdagang dengan Israel semenjak tahun berapa pulak?