Parah halang isteri disamun

Posted on the March 17th, 2011 under Jenayah by admin

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an cedera pada tangan kanan selepas bergelut dengan dua lelaki yang cuba menyamun isterinya di sebuah pasar pagi di Taman Bukit Maluri, di sini, kelmarin.

Difahamkan, tangan kanan mangsa cedera akibat terkena pisau yang digunakan seorang daripada suspek dalam pergelutan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa bagaimanapun gagal merampas semula beg tangan isterinya berusia 30-an yang mengandungi wang, telefon bimbit dan dokumen peribadi dianggarkan bernilai lebih RM650.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, ketika kejadian isteri mangsa berjalan ke tempat letak kereta di kawasan pasar pagi itu diikuti suaminya.

“Dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan wanita berkenaan. Seorang daripada suspek yang memakai topi keledar mengeluarkan pisau sebelum mengarahkan wanita itu menyerahkan beg tangannya.

“Suami mangsa yang menyaksikan kejadian berkenaan bergegas memberikan bantuan. Tindakannya cuba menghalang kedua-dua suspek menyamun isterinya menyebabkan berlaku pergelutan.

“Mangsa dan dua suspek bergelut hampir 10 minit sebelum mangsa terpaksa beralah apabila tangannya cedera kerana terkena pisau,” katanya.

Kesempatan itu digunakan dua suspek untuk melarikan diri.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Difahamkan, sehingga kini kedua-dua suspek belum ditahan, namun usaha memburu mereka giat dijalankan.



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,