Murninya ukhuwah Islam

Posted on the July 22nd, 2011 under Agama by admin

UKHUWAH Islamiah atau persaudaraan Islam adalah teras penting melahirkan masyarakat progresif dan bertamadun atau dikenali sebagai masyarakat madani iaitu masyarakat sivil berdaya saing, dinamik dan mempunyai semangat juang tinggi.

Masyarakat progresif adalah masyarakat yang bersedia menerima perubahan sama ada dari aspek sosial, ekonomi serta politik ke arah mewujudkan satu sistem kehidupan bermasyarakat yang lebih adil, berwawasan dan terbaik. Masyarakat progresif memerlukan struktur persaudaraan utuh dan tanpa prasarana ukhuwah Islamiah yang kental dan stabil hanya akan meletakkan Islam dan umatnya dalam situasi genting berhadapan dengan kancah perpecahan, kekacauan serta perselisihan kritikal.

Sehubungan itu, kekuatan persaudaraan yang mantap dan kukuh akan menjadikan umat Islam berada dalam suasana cukup bersatu padu, saling faham memahami, semangat tolong menolong antara satu sama lain, sikap tolak ansur yang tinggi serta sedia berkorban demi kepentingan orang lain walaupun seseorang itu berada jauh di luar negara dan tidak pernah berjumpa sekali pun. Inilah keunikan dan kehebatan roh ukhuwah Islamiah.

Oleh itu, atas dasar persaudaraan Islam yang kukuh menjadikan kita begitu sensitif dengan nasib dan masa depan umat Islam di negara lain seperti di Palestin, Sudan, Thailand dan lain-lain negara. Sedangkan mereka bukan daripada keturunan atau sebangsa dengan kita, malahan jauh sekali mempunyai hubungan kekeluargaan atau tali persaudaraan, tetapi ia diikat dengan ukhuwah Islamiah sejati. Atas sebab itu, perspektif persaudaraan Islam bukan terbatas kepada hubungan kekeluargaan, darah daging, persahabatan, perkahwinan atau apa jua ikatan, namun ia adalah atas dasar iman dan akidah yang sama.

Menurut Hasan Al-Banna, ukhuwah Islamiah adalah keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan akidah yang luhur yang hakikat sejatinya adalah nikmat daripada Allah s.w.t yang tidak terhingga dan merupakan arahan Rabbani yang mencermin kekuatan iman kita. Terdapat empat tahap penting ke arah penjanaan ukhuwah Islamiah yang komprehensif iaitu taaruf (kenal mengenal), tafahum (faham memahami), taawun (tolong menolong) dan takaful (saling memikul bebanan) atau lebih dikenali sebagai ‘formula 4T’. Resipi formula 4T ini adalah ramuan terbaik dalam usaha penjanaan ukhuwah Islamiah yang benar-benar kukuh dan berkesan di dalam masyarakat.

Sirah telah menukilkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar serta Aus dan Khazraj di Madinah. Antara rentetan kemuncaknya ialah ketika Rasulullah mempersaudarakan Saad bin Rabi’ dan Abdul Rahman bin Auf yang ketika itu Saad telah sedia menawarkan setengah daripada harta kekayaannya kepada Abdul Rahman dan memberikan salah satu daripada dua rumahnya. Bahkan beliau juga sanggup menceraikan seorang isterinya untuk dikahwinkan dengan Abdul Rahman. Namun ditolak oleh Abdul Rahman dan berkata, “Biarkanlah harta, rumah, dan isterimu bersamamu tetapi tunjukkanlah kepadaku di mana pasar di kota Madinah ini”. Ia akhirnya menjadikan Abdul Rahman bin Auf muncul sebagai orang terkaya di kota Madinah di kalangan sahabat Rasulullah.

Sejarah telah merekodkan rentetan contoh unggul bagaimana para sahabat telah merealisasi dan mempraktikkan model ukhuwah Islamiah yang diterap dan ditanam oleh Rasulullah kepada mereka sejak era awal Islam di Makkah lagi. Walaupun tindakan semulia Saad bin Rabi’ terhadap Abdul Rahman bin Auf kelihatan agak sukar dan mustahil untuk dilakukan umat Islam hari ini yang kebanyakannya lebih mementingkan diri sendiri berbanding orang lain biarpun memiliki kekayaan melimpah ruah serta disediakan dengan segala kemewahan hidup. Atas dasar ukhuwah Islamiah yang tinggi juga menyebabkan para sahabat pada era emas umat Islam saling bantu membantu dan ringan meringankan bebanan sahabat yang lain.

Dalam sirah juga dinukilkan bahawa salah seorang sahabat Rasulullah bernama Masruq yang memiliki hutang yang banyak, namun atas ikatan ukhuwah yang cukup tebal menyebabkan beliau apabila mendapat tahu saudaranya, Khaitsamah juga berhadapan dengan masalah hutang, maka Masruq tanpa pengetahuan Khaitsamah telah melangsaikan hutangnya. Sedangkan Khaitsamah pula mengetahui bahawa sahabatnya Masruq juga memiliki hutang yang banyak, lantas beliau pun bertindak membayar hutang yang membelenggu Masruq tanpa pengetahuannya.

Beginilah teladan hebat dan mulia para sahabat yang telah mendapat tarbiah agung daripada Rasulullah sehingga mereka sanggup berkorban apa saja dan memikul bebanan demi kebaikan dan kebajikan saudaranya yang lain biarpun pada hakikatnya diri sendiri berhadapan masalah. Kisah-kisah mulia ini wajar menjadi inspirasi dan aspirasi umat Islam hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat ukhuwah Islamiah sesama kita ke arah mewujudkan sebuah masyarakat madani yang lebih progresif dan dinamik tanpa membelakangi atau menggadai ikatan ukhuwah dengan masyarakat bukan Islam yang lain yang telah sekian lama terbina.

Penulis seorang peguam



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,