‘Metro, tak mau cakap’

Posted on the July 23rd, 2011 under Sukan by Koko Jumbo

TIMBALAN Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim melancar ‘perang dingin’ terhadap media apabila memberi reaksi negatif ketika cuba dihubungi untuk memberi penjelasan.

KOAM terus dihambat dengan belenggu permasalahan yang belum selesai bermula dengan Pusat Latihan Ranau, Sabah, isu dadah dan terbaru kes membabitkan Noraseela yang mendakwa ketiadaan jurulatih mengakibatkan prestasinya merudum, KOAM semakin mengganas.

Kontroversi yang cuba dicetuskan oleh KOAM dalam dunia sukan negara kini terus hangat apabila melakukan tindakan tidak profesional apabila menghalau atlet 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid keluar daripada pejabat KOAM di Bukit Jalil.

Khamis lalu Karim bertindak di luar jangkaan apabila menengking seterusnya menghalau Noraseela keluar daripada pejabat KOAM di Bukit Jalil.

Tempias kemarahannya itu turut dilepaskan kepada wartawan yang cuba menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan namun gagal.

“Metro. Tak mau cakap, tak mau cakap,” Itu yang dikatakan Karim ketika dihubungi untuk memberikan penjelasan berhubung isu Noraseela sebelum terus meletakkan telefon.

Noraseela ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan turut terkejut dengan tindakan Karim yang menghalaunya keluar daripada pejabat KOAM tanpa sebarang sebab.

“Ia bukan satu tindakan profesional. Saya datang hanya untuk menyerahkan surat penjelasan berhubung penarikan diri beraksi di Kejohanan Olahraga Tertutup di Perlis. Saya datang dengan baik tapi disambut dengan cara yang tidak sewajarnya daripada Karim.

“Yang pasti, saya tidak melakukan kesalahan. Semua orang mempunyai bukti dan kini mereka sendiri boleh menilai,” katanya yang mengaku terkejut dengan reaksi Karim.

Bagaimanapun Noraseela yang sudah melepasi syarat kelayakan ke Sukan Sea, Palembang menegaskan, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan berhubung tindakan Karim.

Source: Harian Metro



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,