Lega cadangan naik taraf Jalan Maarof
KUALA LUMPUR: “Lebih cepat lebih bagus dan saya harap dengan menaik taraf jalan di sini akan memudahkan urusan orang ramai terutama penduduk yang sering mengeluh mengenai kesesakan jalan akibat trafik tersekat-sekat,” kata Siti Ummie Hafizah Ibrahim, 27, yang menggunakan Jalan Maarof, di sini.
Dia mengulas mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang menjanjikan tempoh enam bulan untuk menaik taraf kawasan berkenaan yang akan dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Malah, dia berharap selepas ini dapat melalui jalan berkenaan lebih selesa selepas tertekan apabila seringkali tersangkut berjam-jam di dalam kereta kerana kesesakan akibat aliran trafik yang tidak menentu. “Saya menggunakan laluan ini untuk ke tempat kerja di Bukit Kiara, biasanya saya akan singgah di sini pada waktu tengah hari untuk membuat urusan kerana di sini terdapat pelbagai kemudahan.
“Namun, kesesakan teruk memaksa saya meminta bantuan rakan untuk menghantar serta menjemput saya,” katanya.
Sementara itu, Rosli Ali, 50, pula berkata, bukan setakat laluan di Jalan Maarof perlu di naik taraf, tetapi dia berharap DBKL menyediakan ruangan tempat letak kereta lebih selesa di situ.
“Punca kesesakan bukan saja kerana jalan sempit dan aliran trafik yang tidak teratur, sebaliknya masalah kekurangan parkir juga punca utama.
“Pengguna meletakkan kenderaan mereka sesuka hati kerana tempat letak kereta tidak mencukupi akibatnya jalan sesak sehingga ke laluan Jalan Maarof,” katanya.
Source: Harian Metro
| PERINGATAN: Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. |



















