Kenaikan tol selepas lima tahun tak beban rakyat
SEBARANG kenaikan tol di lebuh raya kendalian PLUS Express-ways Bhd selepas tempoh lima tahun tanpa kenaikan seperti dijanjikan kerajaan akan dibuat pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, perkara itu bagaimanapun belum diputuskan dan hanya akan diteliti selepas tamat tempoh lima tahun tanpa kenaikan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2011 minggu lalu.
“Selepas lima tahun nanti, kita akan lihat macam mana, tetapi jika (kadar tol) naik sekali pun ia adalah pada kadar munasabah dan tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Rancangan Malaysia Ke-10, 2011-2015: Program, Perancangan dan Impak kepada Ekonomi, Negara dan Pertaliannya kepada Rakyat Malaysia” pada majlis jamuan tengah hari anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Presiden MIM, Tun Mohammed Hanif Omar dan Pengerusi MIM, Datuk Mohamed Iqbal Rawther.
Pada sidang media sama, Nor Mohamed berkata, Majlis Konsultasi Gaji Negara yang akan mengkaji pelaksanaan gaji minimum akan ditubuhkan selewat-lewatnya Januari depan bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan gaji minimum di negara ini.
Beliau berkata, majlis yang akan diterajui Kementerian Sumber Manusia itu akan dianggotai pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam isu berkenaan seperti majikan, kesatuan sekerja, pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Majlis ini akan mengkaji dengan teliti semua perkara berkaitan gaji minimum sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, sebelum ini berkata, dasar gaji minimum dijangka dilaksanakan di negara ini mulai Jun tahun depan selepas akta mengenainya diluluskan.
Mengenai penubuhan Talent Corporation, Nor Mohamed berkata, tujuan utamanya bukan semata-mata untuk menarik semula rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang bekerja di luar negara untuk kembali ke Malaysia, tetapi juga bagi mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa kepada pekerja tempatan berkemahiran tinggi untuk terus bekerja di negara ini.
“Kita juga perlu memastikan keselesaan dan menjamin masa depan pekerja luar yang mahir terus menetap dan berbakti kepada negara ini,” katanya.
Source: Berita Harian
| PERINGATAN: Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. |


















