Fong Ying tersenarai

Posted on the March 18th, 2011 under Sukan by Koko Jumbo

MESKIPUN atlet yang bakal menggalas cabaran di Sukan Sea, Palembang belum lagi dipilih secara rasmi, ratu wushu negara, Chai Fong Ying sudah berjaya menempah tiket awal ke temasya yang berlangsung November ini.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Wushu Malaysia (PWM), Winnie Chin berkata, pemilihan itu bersandarkan prestasi Fong Ying yang amat cemerlang tahun lalu.

“Pemilihan belum lagi dibuat secara rasmi tapi Fong Ying pastinya antara jaguh yang bakal dihantar bertempur di Palembang.

“Bukan menganggap dia (Fong Ying) anak emas persatuan atau bintang selain tiada sebarang ‘keistimewaan’ tapi hakikatnya dia penyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Asia lalu serta mempamerkan kewibawaan di kejohanan lain sepanjang 2010,” katanya.

Sejak merangkul gelaran juara berganda selepas impian mempertahankan emas dimenangi di Sukan Asia Doha, empat tahun lalu berjaya dilaksana di Guangzhou, Fong Ying, 25, kini bukan saja menjadi tonggak skuad kebangsaan tapi turut menjadi tumpuan negara.

Fong Ying turut menjadi antara calon Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2010, namun gelaran itu memihak kepada Datuk Nicol David ketika diumumkan Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Winnie berkata, keputusan menamakan Fong Ying tidak bermaksud pihaknya memandang remeh atlet elit lain.

“Kami akan memilih beberapa atlet selepas bulan Mei dan ketika ini prestasi atlet elit akan dipantau sepanjang sesi latihan.

“Antara mereka adalah Diana Bong, Ng Shin Yii, Loh Jack Chang, Lee Yang serta pemenang pingat gangsa di Sukan Asia lalu, Tai Cheau Xuen, ” katanya.

Source: Harian Metro



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,