BSN sasar salur pinjaman RM150 juta bantu peniaga
BANK SIMPANAN Nasional (BSN) menyasar mengeluarkan pinjaman skim mikro kredit sehingga RM150 juta bagi membantu lebih 10,000 peniaga kecil tahun ini susulan persekitaran sektor perniagaan kecil yang semakin rancak.
Tahun lalu saja, bank komuniti itu sudah menyalurkan lebih RM100 juta pinjaman mikro yang memanfaatkan lebih kurang 7,000 peminjam, dengan purata pembiayaan antara RM15,000 hingga RM25,000 setiap satu.
Naib Presiden Kanan Jabatan Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja’afar, berkata daripada jumlah itu, 70 peratus adalah membabitkan sektor peruncitan, diikuti perkhidmatan dengan 25 peratus) serta pengilangan sebanyak lima peratus.
Katanya, pembiayaan itu dibuat menerusi skim TemaNiaga, TemaNiaga-i dan TemanMesra yang diwujudkan sejak 2007.
Skim berkenaan, katanya menawarkan kadar pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 setiap peminjam, dan tempoh bayaran balik maksimum lima tahun.
“BSN adalah bank yang diberi mandat bagi skim pinjaman mikro dan segmen ini juga antara penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pinjaman kami.
“Walaupun mikro kredit adalah skim pembiayaan baru ditawarkan BSN, tetapi kami akan tetap memberi penekanan ke arah kejayaan skim ini, terutama dalam membantu memajukan lebih ramai peniaga kecil di negara ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, BSN dijangka mengeluarkan pinjaman lebih tinggi tahun ini dengan mengambil kira keupayaan 55 pusat mikro kewangan dan 384 cawangan BSN yang turut menawarkan perkhidmatan itu di seluruh negara.
Katanya, bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap segmen pembiayaan itu, BSN juga akan membuka dua lagi pusat mikro kewangan di Tanjung Malim, Perak dan Pekan, Pahang dalam tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, BSN sentiasa memberi tumpuan dalam usaha untuk meningkatkan akses kemudahan perbankan menerusi kerjasama dengan dewan perniagaan khususnya bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Malah, katanya, BSN juga bersedia bekerjasama dengan persatuan perniagaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memajukan serta menaik taraf peniaga di bawah pentadbiran masing-masing.
Setakat ini, Nilammasri berkata, pembayaran balik pinjaman bagi skim itu adalah menggalakkan dan jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) masih terkawal.
Nilammasri berkata, skim mikro kredit adalah pinjaman yang berisiko tinggi yang mana peminjam boleh memohon dengan mengemukakan dokumen yang minimum serta tiada cagaran, bagaimanapun penjamin diperlukan.
“BSN turut menyediakan pegawai pengutip hutang di setiap negeri untuk memudahkan urusan membuat kutipan harian kepada peminjam tertunggak.
“Selain itu, pegawai kami yang sejak awal memproses permohonan pinjaman juga akan selalu menghubungi dan memantau kes masing-masing,” katanya.
Source: Berita Harian
| PERINGATAN: Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. |



















