Bank Negara proaktif kekang spekulasi hartanah

Posted on the October 29th, 2010 under Ekonomi by Koko Jumbo

Kenaikan harga di beberapa lokasi tertentu tetapi terkawal

BANK Negara Malaysia akan mengambil tindakan awal mengawal berlakunya kenaikan keterlaluan harga aset di negara ini termasuk memperkenalkan langkah mem-bendung aktiviti spekulasi hartanah.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bagaimanapun menegaskan sebarang langkah baru khususnya yang berkaitan dengan kawalan pinjaman hartanah jika dilaksanakan tidak akan membabitkan pembeli rumah tulen.

“Kita mahu meningkatkan pemilikan rumah tetapi pada masa sama kita tidak mahu berlakunya aktiviti spekulatif keterlaluan.

“Justeru, untuk pembeli rumah pertama atau mungkin kedua, sebarang langkah baru tidak akan membabitkan golongan itu,” katanya selepas selepas mempengerusikan sesi perbualan bersama media mengenai ‘Prospek dan Peluang Kewangan Islam’ pada Forum Kewangan Islam Global yang berakhir di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, pihaknya mengesan berlaku sedikit kenaikan harga hartanah ketika ini di beberapa tempat tertentu, tetapi situasi itu adalah tidak menyeluruh.

Sementara itu mengikut sumber, bank pusat akan mengadakan pertemuan dengan institusi perbankan tempatan minggu depan untuk memutuskan perkara berkenaan.
“Sejak beberapa bulan lalu, bank pusat dan bank tempatan mengkaji mengenai kemungkinan berlaku gelembung harga hartanah.

“Jika ada tanda ia berlaku, sebagai langkah awal berkemungkinan had margin pembiayaan pembelian rumah ketiga dan seterusnya, diturunkan kepada antara 80 hingga 70 peratus berbanding 90 peratus kini,” katanya.

Sementara itu pada sesi perbualan sebelumnya, Zeti berkata Asia tidak perlu mewujudkan mata wang tunggal untuk pertumbuhan masa depan kerana model ekonomi yang berbeza di ka-langan negara rantau ini menjadikan pelaksanaannya gak sukar.

Katanya, idea mata wang tunggal sama seperti euro yang dilaksanakan Kesatuan Eropah (EU) sudah dikaji penggubal dasar di rantau ini namun kesimpulan yang dibuat adalah negara Asia boleh mencapai kemakmuran lebih tinggi tanpa melaksanakan sistem mata wang berkenaan kerana ekonominya yang pelbagai.

“Kos melaksana dan mengurus mata wang tunggal jauh lebih tinggi berbanding manfaatnya,” katanya.

Malah, jika ia dilaksanakan ia boleh membawa kita ke belakang,” katanya.

Mengenai perkembangan sektor kewangan Islam, Zeti berkata, International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), badan yang ditubuhkan minggu ini untuk menangani isu pengurusan kecairan dalam kewangan Islam itu, akan menerbitkan kertas hutang jangka pendek dalam pelbagai mata wang bermula tahun depan.

“IILM akan menerbitkan kertas hutang pertama dalam dolar Amerika Syarikat (AS), dan kemudian euro,” katanya.

IILM, katanya, adalah usaha bersama 11 bank pusat serta dua organisasi pelbagai hala untuk membantu institusi kewangan menawarkan perkhidmatan kewangan Islam bagi menangani isu kecairan dan merangsang pelaburan berlandaskan syariah.


Source: Berita Harian



PERINGATAN:  Harian Metro Online (HMO) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,